Monday, 7 December 2015

MASALAH SOSIAL
·         Pengenalan
Ø  Gejala keruntuhan akhlak dan sosial dalam kalangan masyarakat Malaysia terutama dalam kalangan remaja perempuan semakin menular
Ø  Definisi pengkid

·         Isi Faktor
Ø  Kurang Ilmu Pengetahuan dan Didikan Agama Islam
Ø  Faktor Persekitaran
Ø  Faktor Keluarga

·         Penutup:
Ø  Kekuatan untuk menghadapi fenomena terkutuk ini harus bermula dalam masyarakat kita dan mayarakat perlu bertindak mencegahnya menurut keupayaan bersama

Pengkid Masalah Sosial Yang Serius

Gejala keruntuhan akhlak dan sosial dalam kalangan masyarakat Malaysia terutama dalam kalangan remaja perempuan semakin menular terutamanya isu pengkid. Senario ini menggambarkan satu lagi punca keruntuhan institusi kekeluargaan. Menurut Profesor Madya Mohd Maksan Musa, pensyarah di Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Utara Malaysia (2010), istilah pengkid merujuk kepada bahasa slanga yang digunakan oleh golongan lesbian di negara ini. Berbeza daripada lesbian, pengkid adalah seorang wanita yang yang beridentitikan lelaki mencintai wanita sepertinya untuk dijadikan pasangan hidupnya. Menurutnya lagi, istilah pengkid hanya digunakan di negara ini dan tidak wujud di mana-mana negara lain.
Antara faktor berlakunya pengkid adalah seperti kurang ilmu pengetahuan dan didikan agama islam. Kenyataan ini berdasarkan peratusan pengkid di mana sebanyak 80 peratus adalah terdiri daripada bangsa Melayu dan beragama islam. Menurut Hiqmah Noor (2004), pengetahuan agama golongan pengkid ini tidak mantap dan menyebabkan  mudah bagi syaitan untuk menghasut dan menggoda untuk melakukan kemungkaran.
Selain itu, faktor persekitaran. Lambakan hiburan dan budaya hedonisme yang disiarkan dalam media massa menjadi salah satu cabang utama lahirnya budaya jijik ini. Kehidupan yang berteraskan material dan kepuasan diri sendiri individu yang dipamerkan dalam televisyen terutamanya, akan menggalakkan budaya pengkid dalam kalangan kanak-kanak serta remaja. Malah dalam salah satu drama Indonesia yang ditayangkan di Malaysia, menggambarkan watak perempuan, Oliva menjadi lelaki bernama Ruben menjadi tontonan seisi keluarga tanpa bantahan dan tentangan masyarakat. Penyuburan budaya kemungkaran ini, hanya akan merosakkan akidah kerana mengubah kejadian fitrah diri manusia.
Seterusnya ialah faktor keluarga. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian anak-anak. Dalam pusingan kehidupan manusia, seorang bayi akan dilengkapi dengan segala kehendak asas, diasuh dan dibimbing sehingga ke tahap kanak dan remaja. Sekiranya sesebuah keluarga ditakdirkan mempunyai ramai perempuan, ada juga ibu bapa cuba mengubah salah seorang anaknya menjadi seseorang lelaki. Anak-anak tersebut diberi layanan, berpakaian, cara percakapan dan cara berjalan sebagai seorang lelaki. Ibu bapa juga terlalu menggalakkan anak-anak perempuan bergaul dan melibatkan diri dalam aktiviti yang cenderung dilakukan oleh anak-anak lelaki. Jika sejak kecil, anak-anak perempuan disemai dengan ciri-ciri lelaki, maka sifat ini boleh berlarutan sehingga dewasa. Cara didikan yang salah ini akan menyebabkan anak-anak itu mengalami kecenderungan jantina dan seksual yang berbeza.
Kesimpulannya, kehidupan manusia sentiasa berhadapan dengan pelbagai masalah yang boleh memberi kesan yang serius termasuklah isu seksualiti. Hal ini menunjukkan walaupun manusia ini diciptakan dengan sebaik-baik kejadian oleh Allah S.W.T. namun terdapat segelintir manusia seringkali terleka dan melakukan kesilapan demi kesilapan. Oleh itu, dalam memenuhi keperluan bersifat naluri, manusia seringkali terlepas dari kawalan sehingga terjebak dengan gejala-gejala yang negatif yang dilarang oleh agama. Isu  pengkid kebanyakan adalah berpunca daripada golongan remaja perempuan yang kurang kefahaman dan amalan agamanya yang mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan untuk melakukan perkara-perkara yang mungkar. Jelaslah bahawa kekuatan untuk menghadapi fenomena terkutuk ini harus bermula dalam masyarakat kita. Andai telah ada bibitnya, mayarakat perlu bertindak mencegahnya menurut keupayaan bersama.


No comments:

Post a Comment