Monday, 7 December 2015

ISU SEMASA
·         Pengenalan
Ø  Jerebu merupakan tetamu yang tidak diundang di negara Malaysia
Ø  Jerebu sering berlaku di negara Malaysia
Ø  Definisi jerebu.
·         Isi Faktor Jerebu
Ø  Pembakaran hutan secara besar – besaran di negara jiran
Ø  Kegiatan industri yang tidak terkawal.
Ø  Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia
·         Penutup:
Ø  Semua harus memainkan peranan dalam mengurangkan fenomena jerebu yang berlaku. Pihak kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian dengan kadar segera demi untuk kesajahteraan rakyat.

Tetamu Yang Tidak Diundang “Jerebu”

Baru – baru ini jerebu menjadi ‘tetamu yang tidak diundang’ di negara kita. Boleh dikatakan hampir setiap tahun jerebu menyinggah di laman udara Malaysia. Fenomena jerebu di negara ini sudah tidak asing lagi buat penghuni – penghuni bumi Malaysia. Sesungguhnya, fenomena jerebu di negara ini mempunyai kisahnya yang tersendiri dan boleh dikatakan fenomena ini berpunca angkara manusia itu sendiri yang bersifat pentingkan diri sendiri. Jerebu ialah satu fenomena di mana habuk, asap, dan zarah-zarah kering yang lain berkumpul di udara, menyebabkan penglihatan yang kurang jelas dan jarak penglihatan yang berkurangan. Ini berlaku apabila keadaan cuaca menghalang bahan pencemaran ini daripada disebarkan secara meluas. Apa yang berlaku ketika jerebu ialah bahan pencemaran ini bertumpu kepada sesuatu kawasan dan menyelimutkannya dan ini secara umumnya mengakibatkan pemandangan yang kurang jelas dan juga boleh menjadi satu ancaman kesihatan terutamanya kesihatan sistem pernafasan. Jerebu boleh berwarna coklat atau biru dan bergantung kepada saiz zarah, jerebu tidak selalunya boleh dilihat dengan mata kasar. Oleh itu amatlah penting bagi kita semua rakyat Malaysia untuk mengetahui faktor dan bagaimana untuk menghalang berlakunya fenomena jerebu.

Sebagaimana kita ketahui, banyak faktor yang menyebabkan fenemena jerebu ini berlaku. Kadang-kala faktor ‘asbab’ fenomena jerebu berlaku membawa kepada perbalahan dan kontrovesi, mana tidaknya ada pihak – pihak tertentu yang saling menunding jari menyalahkan antara satu sama lain mengenai terjadinya fenomena jerebu ini. Antara faktor dominan berlakunya jerebu ialah pembakaran hutan secara besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu meningkat. Hal ini berlaku kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di muka bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita. Natijahnya, udara kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu.


Jerebu sering melanda negara Malaysia

Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri yang tidak terkawal. Hal ini demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung pada bidang perindustrian yang mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan keadaan jerebu di negara kita lagi.

Di samping itu, peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya dan telah menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan keadaan jerebu bertambah parah kerana kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap yang mencemarkan udara.  Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas.  Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.

Natijahnya, semua pihak perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk mengatasi masalah jerebu ini. Usaha ini sangat penting demi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara sebelum terlambat. Pihak kerajaan terutamanya perlu mengorak langkah drastik bagi mengatasi masalah jerebu ini dari terus-menerus menghantui negara kita.  Rakyat yang sihat merupakan tonggak utama untuk memastikan kemajuan negara kerana 'Rakyat Sihat Negara Maju’.



No comments:

Post a Comment