Monday, 7 December 2015

SEJARAH

Pembukaan Kota Konstantinopel

Usai menelaah buku ‘Kisah Cinta Ahmad Ammar dan Secangkir Kopi Pengubat Letih’, hati ini semakin tertarik dengan Bumi Artartuk yang tersimpan 1001 rahsia dan keistimewaannya. Jika dahulu negara Korea yang menjadi ‘kegilaan’ dalam setiap perkara kini pandanganku berubah sekelip mata beralih kepada bumi Turki. Benarlah kata orang tua dulu-dulu ‘tak kenal maka tak cinta’. Sejak mula jatuh cinta dengan negara Turki diri ini sentiasa membaca, mengkaji dan apa sahaja berkaitan turki semuanya akan diteroka. Oleh itu, mengenali  dengan lebih mendalam lagi mengenai Kota Konstantinopel ini, apa kata kita menyelusuri sejarah Tokoh islam yang hebat yang membuka Kota Konstantinopel.

Istanbul atau yang dulunya dikenali sebagai Kostantinople, adalah salah sebuah bandar nostalgia dunia. Tidak setakat tercatat oleh tinta Sejarah Islam, bahkan statusnya sebagai salah sebuah bandar utama dunia, pasti mengundang seisi alam manusia untuk meninjau dan menghubungkan sejarah kegemilangan masing-masing dengannya Istanbul diasaskan pada tahun 330M oleh Maharaja Byzantine iaitu Costantine I. Kedudukan Kota Kontantinople yang strategik, diungkapkan oleh Napoleon Bonapart iaitu Maharaja Perancis, Raja Itali (15 Ogos 1769 – 5 Mei 1821) sebagai, “…kalaulah dunia ini sebuah negara, maka Costantinople inilah yang paling layak menjadi ibu negaranya!”.Costantinople telah pun menjadi ibu negara Empayar Byzantine semenjak penubuhannya. Ini menjadikan bandar berkenaan sebagai salah sebuah bandar terbesar dan utama dunia.

Peta Kota Kontanstinopel
Pastinya rata – rata sudah mengetahui mengenai Sultan Muhammad al-Fateh iaitu Insan yang hebat yang menjadi wira Penakluk Kota Konstantinopel. Rasulullah SAW telah pun beberapa kali memberikan khabar gembira tentang pembukaan kota ini di tangan umat Islam seperti yang dinyatakan oleh Baginda SAW di dalam peperangan Khandak. Sabda baginda SAW  “Konstantinopel akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (HR Imam Ahmad)
Hadis ini telah membakar semangat sekian banyak tokoh dan tentera Islam untuk menakluki Konstantinopel yang terkenal dengan keutuhan tembok berlapisnya. Dari semasa ke semasa ada saja pejuang-pejuang yang maju ke hadapan untuk memenuhi maksud hadis tersebut. Sejak zaman para sahabat sehingga 800 tahun kemudiannya, pelbagai usaha ketenteraan telah dilakukan namun kesemuanya gagal menembusi tembok berlapis Konstantinopel. Konstantinopel yang berada di dalam Empayar Byzantine dianggap sangat penting kerana ianya merupakan laluan utama untuk ‘membuka’ Eropah keseluruhannya. Tuhan menzahirkan kebenaran kata-kata Nabi Muhammad SAW itu melalui Sultan Muhammad al-Fateh. Sultan Muhammad al-Fateh (Sultan Muhammad II) Salah seorang tokoh pejuang Islam dari kelompok pemerintah sama seperti Salahuddin al-Ayyubi. Beliau menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran ‘Al-Fath’, yang bermaksud kemenangan, adalah sempena kejayaannya menakluk Konstantinopel (Istanbul)

                   Sultan Muhammad al-Fateh (Sultan Muhammad II)        

        Sebelum melakukan kempen ketenteraan ke atas Konstantinopel, Sultan Muhammad membuat persediaan rapi. Beliau belajar daripada sejarah yang menyaksikan kegagalan tentera Islam berulangkali dalam menyerang kota tersebut. Dengan tembok kota berlapis empat, setinggi 25 kaki dan berparit air di hadapannya, kota ini sungguh kebal. Untuk itu perancangan dan persediaan yang luar biasa mesti dilakukan. Antara langkah awal yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fateh ialah mengerahkan pembinaan meriam paling besar dan berkuasa pada zaman itu. Meriam ini mampu menembak sejauh satu batu dengan peluru antara 300-1600 kilogram setiap biji. Tentera musuh memang gentar akan teknologi ketenteraan umat Islam ini. Meriam ini hanya boleh melepaskan 15 tembakan setiap hari. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk umat Islam menguasai teknologi. Tentera Islam tiba di Konstantinopel dengan jumlah lebih kurang 150,000 orang. Apabila mereka solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, ianya memberikan kesan yang besar terhadap semangat tentera musuh.
Sultan Muhammad, yang berusia 21 tahun pada ketika itu, dan tenteranya tiba di Konstantinopel pada 19 April 1453. Mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam selama 48 hari, namun Konstantinopel masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan puladengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong.
Namun, satu keajaiban berlaku. Pada suatu malam, Sultan Muhammad mengerahkan tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat. Mereka menarik kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu idea yang sungguh luar biasa serta di luar jangkaan musuh. Esoknya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh masuk? Ketika inilah peperangan hebat berlaku.
Pada 29 Mei 1453, Kota Konstantinopel akhirnya jatuh ke tangan Islam. Sultan Muhammad dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya, lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah beliau diberi gelaran “Al-Fateh” iaitu yang menang kerana kejayaannya menakluk Konstantinopel. Sultan Muhammad kemudiannya menukar nama Konstantinopel kepada ‘Islambol’ yang bermaksud ‘Islam Keseluruhannya’ (Nama Islambol kemudiannya diubah pula kepada ‘Istanbul’ oleh seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk laknatullah). Sultan Muhammad juga menukar Gereja Besar St. Sophies kepada sebuah masjid yang diberi nama ‘Aya Sofia’ (Sekarang telah dijadikan muzium). Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary, Bosnia, Serbia, Albani dan sekitarnya.

Tentera Othmaniyyah akhirnya berjaya menembusi kota Costantinople melalui Pintu Edirne dan mereka telah mengibarkan bendera Daulah Othmaniyyah di puncak kota. Costantine yang melihat kejadian itu berasa putus asa untuk bertahan lantas menanggalkan pakaian maharajanya supaya tidak dikenali musuh. Akhirnya beliau menemui ajal dalam keadaan yang amat mengaibkan. Berita kematian Costantine telah menaikkan lagi semangat tentera Islam untuk menyerang. Begitu juga sebaliknya, bagaikan pokok tercabut akar, tentera salib menjadi kucar kacir apabila berita kematian maharajanya tersebar. Kesungguhan dan semangat juang yang tinggi di kalangan tentera Al-Fatih, akhirnya berjaya sampai ke cita-cita mereka. Kejayaan menguasai Costantinople telah disambut dengan penuh rasa syukur oleh Al-Fatih serta... seisi langit dan bumi. Beliau bertitah, ".. Alhamdulillah, semoga Allah merahmati para syuhada', memberikan kemuliaan kepada mujahidin, serta kebanggaan dan syukur buat rakyatku" 




No comments:

Post a Comment