HUTAN PAYA BAKAU
PENGENALAN
Malaysia
sememangnya bertuah kerana mempunyai pelbagai khazanah alam untuk diterokai. Menurut
Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin (2012)
kepelbagaian bentuk muka bumi yang unik dari tanah tinggi hingga ke pantai nan
indah ditambah dengan lambakan spesis flora dan fauna membuatkan negara
Malaysia sebagai negara mega ‘kepelbagaian biologi’ di dunia. Kebanyakan orang
mengenali ekosistem hutan hujan topika atau kehidupan marin di negara ini,
namun ada satu lagi ekosistem yang tidak kurang pentingnya iaitu ekosistem
hutan paya bakau yang terletak antara darat dan laut yang sememangnya mempunyai
pelbagai fungsi dan kegunaan yang boleh dimanfaatkan. Oleh itu, makalah ini
akan membicarakan dengan lebih mendalam mengenai ‘Hutan Paya Bakau’ di
Malaysia.
Berdasarkan
Chapman (1977 dalam Firuza Begham Mustafa 2008; 104) paya bakau merujuk kepada
hutan unik yang mendominasi zon pasang surut pantai tropika dan subtropika,
umumnya antara latitud 30° Utara dan 30° Selatan. Hutan
bakau adalah jenis hutan khusus yang tumbuh di sepanjang pantai atau muara sungai
yang dipengaruhi oleh pasang surut air laut. Pokok bakau tumbuh di kawasan pantai
yang terlindung daripada tiupan angin kencang dan lazimnya akan tumbuh lebih
subur jika hidup di muara sungai yang lebar. Soepadmo (1980 dalam Firuza Begham
Mustafa 2008; 104) menjelaskan hutan jenis paya bakau boleh didapati di pantai
benua Asia, Australia dan New Zealand, namun hutan bakau yang terdapat di Asia
Tenggara khususnya Malaysia, Sumatera dan Borneo merupakan yang paling subur
dan menarik.
Malaysia
memiliki lebih daripada 1.5 juta hektar hutan paya bakau dan hampir separuh
daripadanya terletak di Sabah (240 000 hektar). Hutan bakau terdapat di
sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia, di sepanjang pantai timur Sabah, di
delta Sungai Rajang, Sarawak. Di Semenanjung Malaysia pula
terdapat sekitar 225 033 hektar hutan bakau dimana 96 peratus terdapat di
Pantai Barat manakala 4 peratus terdapat di Pantai Timur. (Jabatan Perhutanan
Semenanjung Malaysia 2000).
Menurut
Nurain Sahazali & Er Ah Choy (2013), terdapat pelbagai spesis bakau yang
boleh dijumpai di Malaysia seperti spesies Rhizophora (bakau) yang banyak
terdapat di Taman Paya Bakau, Seri Manjung, Perak yang mana tumbuhanpaya
bakau ini adalah spesies yang tahan kepada keadaan persekitaran yang berair
masin dan berlumpur. Spesies lain termasuklah Avicennia (api-api) dan
Sonneratia, tetapi secara amnya kebanyakan spesies bakau ini mempunyai
ciri-ciri yang serupa seperti akar yang timbul di permukaan pasir.
KEPELBAGAIAN
BIOLOGI DALAM EKOSISTEM HUTAN PAYA BAKAU
Pelbagai
jenis hidupan yang dapat kita jumpai sekiranya kira meneroka ekosistem yang
tersimpan pelbagai khazanah sumber alam ini dan rahsia keistimewaan yang pastinya
mengujakan hati. Terdapat pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan yang menjadikan kawasan
ekosistem ini sebagai habitat seperti pelbagai spesis tumbuh – tumbuhan dan
pelbagai jenis fauna dari sekecil hidupan hingga reptilia yang besar.
Berdasarkan Wetlands International (2013) tumbuh –
tumbuhan di hutan paya bakau hidup di sekitar pesisiran pantai, muara sungai
atau sungai berlumpur yang sering ditenggelami air. Oleh itu, ia juga dikenali
sebagai tumbuhan halofit, iaitu tumbuhan
yang dapat menyesuaikan dirinya untuk hidup dalam udara atau tanah yang
bergaram (masin). Terdapat pelbagai jenis pokok – pokok bakau yang hidup di sekitar kawasan hutan paya bakau
antaranya ialah seperti rajah 1.
(Rhizophora - Bakau Minyak, Bakau
Kurap
Bagi
hidupan fauna yang menjadi penghuni paya bakau yang paling biasa ditemui ialah
ketam (rebab, nipah), ikan belacak, ular bakau, memerang licin, beruk dan
sebagainya. Banyak spesis udang dan ikan yang menakluk kawasan hutan paya bakau
sewaktu air pasang untuk mencari makanan, manakala siput, tertirip dan tiram banyak
di jumpai diatas akar pokok bakau. Holistik (2010 dalam Siti Zubaidah Ibrahim,
2011; 3) menjelaskan di Sabah pula, hutan bakau juga telah menjadi habitat bagi
Kera Bekantan.Tidak ketinggalan
juga haiwan yang paling menarik yang dapat dijumpai kawasan hutan paya bakau
dan dataran lumpur berhampirannya ialah pelbagai spesis burung (air dan pantai)
yang mempunyai fizikal yang unik. Menurut Chapman (1975
dalam Nurul Najwa Ismail et al, 2009; 8). Beberapa jenis burung yang biasa terdapat
di hutan paya bakau adalah dicaceum hirundinaceum, amyema spp. Antara burung
lain ialah burung air seperti burung upeh, burung botak , burung bangau (besar
dan kecil) dan burung pucung (seriap dan keladi) turut mendiami ekosistem paya
bakau ini.
KEPENTINGAN
HUTAN PAYA BAKAU
Paya bakau merupakan anugerah yang
tidak ternilai harganya. Kehidupan manusia saling berkait dengan alam semester
ini termasuklah hutan paya bakau sama ada secara langsung atau tidak. Hal ini
dapat dilihat melalui kepentingan hutan paya bakau yang memberi banyak manfaat
kepada semua hidupan sama ada dari segi ekologi, ekonomi termasuk menstabilkan
geofizikal.
Antara kepentingan hutan paya bakau
dari segi ekologi ialah menjadi habitat kepada banyak hidupan seperti hidupan
marin, penghuni pokok – pokok bakau dan hidupan yang semakin diancam kepupusan.
Berdasarkan Siti Zubaidah Ibrahim (2011) kawasan paya bakau turut menjadi
kawasan pemakanan, pembiakan dan tumbesaran terutama hidupan akuatik seperti udang, ikan dan ketam. Hutan
paya bakau juga merupakan satu tempat persinggahan bagi burung ‘penghijrah’
seperti burung bangau, burung raja udang dan sebagainya yang kerap dilihat di
kawasan dataran hutan paya bakau di negara ini. Menurut Jabatan tourism Malaysia (2015), semasa musim
penghijrahan di antara bulan Ogos hingga April setiap tahun, dianggarkan lebih
daripada 200,000 burung-burung hijrah yang terdiri daripada kira-kira 50
spesies akan singgah di Kuala Gula Perak yang sememangnya terkenal dengan
kawasan hutan paya bakau.
Kepentingan hutan paya bakau dari
segi ekonomi pula ialah memberikan sumber makanan seperti ketam, ikan dan udang.
Dalam konteks ini, penduduk setempat yang mendiami kawasan hutan paya bakau
rata – ratanya terdiri daripada nelayan. Jadi, para nelayan ini dapat mencari
sumber protein di kawasan hutan paya bakau ini dan lebihan daripada sumber
makanan yang diperolehi hasil tangkapan di hutan paya bakau dapat dijual
dipasar - pasar yang berhampiran.
Seterusnya, memberikan pulangan yang tinggi kepada negara melalui hasil perikanan.
Holistik (2010 dalam Siti Zubaidah Ibrahim, 2011; 6) menjelaskan bahawa kerajaan
sangat menggalakan para nelayan terlibat industri sangkar terampung di
persikataran paya bakau. Penternakan ikan dalam sangkar seperti ikan (kerapu,
siakap), kerang, udang (galah, harimau) dan ketam sememangnya menjamin pulangan
hasil yang lumayan. Contohnya, udang harimau yang semakin terkenal telah bejaya
di eksport ke Jepun yang sememangnya memberikan kesan kepada peningkatan nilai
eksport negara.
KEGUNAAN
HUTAN BAKAU
Hutan bakau sememangnya banyak
keistimewaan yang tersimpan seribu satu manfaat yang berguna buat manusia. Banyak
yang kita boleh manfaatkan melalui penggunaan hutan bakau. Menurut Siti
Zubaidah Ibrahim (2011) pokok bakau dapat dijadikan sebagai bahan untuk membuat
rumah, membuat bot, perangkap ikan, kraftangan dan sebagainya. Sumber api
daripada pokok bakau antara produk yang paling dikenali iaitu kayu arang Namun
kini, sumber alam daripada pokok bakau telah telah pun dikomersialkan menjadi
sabun, kosmetik dan produk penjagaan lain seperti di Jepun.
Selain
itu, pucuk daun pokok bakau boleh dimakan sebagai sayur. Menurut Tanin yang
diperolehi daripada kulit pokok bakau digunakan untuk mewarnakan jaring, kain
layar dan pelekat plastic. Daun-daun nipah digunakan untuk industri kecil
sederhana (IKS) seperti tikar anyaman, atap, bakul dan rokok daun. Manakala, kulit
pokok tumu merah digunakan untuk merawat cirit-birit berdasarkan perubatan Cina
di samping asap daripada pembakaran kayu Buta-buta untuk merawat penyakit kusta
dan daunnya untuk merawat penyakit sawan.
KESIMPULAN
Hutan paya bakau merupakan ekosistem
yang tidak kurang pentingnya yang sememangnya memberikan manfaat yang besar
kepada manusia dari segi ekonomi dan sosial disamping kepentinganya kepada alam
sekitar fizikal. Oleh itu, kawasan ekosistem paya bakau ini perlu dipelihara
dan usaha pemeliharaannya perlu dititikberatkan oleh pihak yang
bertanggungjwab. Sekiranya, hutan paya bakau yang terdapat di Malaysia ini
diekplotasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tanpa sebarang pengawasan,
maka tidak hairanlah jika suatu hari nanti Malaysia akan kehilangan satu lagi
ekosistem menarik dan unik yang mungkin tidak ada di negara lain.
Sekiranya kita mengkaji dengan lebih
mendalam lagi mengenai hutan paya bakau nescaya kita akan memanfaatkannya
dengan sebaik mungkin kerana ekosistem hutan paya bakau terutama hutan pakau
dan hidupan yang terdapat di kawasan tersebut saling bergantungan dengan hidupan manusia. Justeru, semua pihak
termasuk kita bersama – sama berganding bahu dalam memelihara dan memulihara
hutan paya bakau agar ianya kekal menjadi tatapan buat generasi yang akan
datang. Sesungguhnya, alam sekitar yang ada pada ketika ini bukannya yang kita
warisi daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada
generasi yang akan datang. “Sayangilah dan Peliharalah Paya Bakau Kita”
No comments:
Post a Comment